Monday, January 24, 2011

Nice song and video for children~

Salam..
Alhamdulillah,pengalaman saya semakin bertambah sejak menjadi pembantu guru di tadika.
Sungguh-sungguh mencabar menjadi seorang guru tadika. Tetapi, saya ingin menjadi seorang kakak kepada adik-adik di sana. Di mana tempat untuk mereka meluahkan rasa, bercerita dan bermain bersama selain daripada diajar oleh saya.

Kanak-kanak ini umpama permata yang harus digilap setiap hari, dijaga dengan rapi dan disayangi sepenuh hati.
Melalui pengalaman ini, saya berharap agar saya dapat mendidik diri saya sendiri supaya lebih SABAR, SYUKUR dan PENYAYANG serta PEMAAF.

Kanak-kanak ini mudah sangat untuk memaafkan sahabatnya. Tengok sahaja gelagat mereka. Apabila mereka berebut sesuatu, salah seorang akan merajuk. Namun, selang beberapa saat, mereka akan bersalaman dan akan berkongsi serta menjadi baik seperti biasa.
Alangkah indahnya dunia apabila hati-hati kita seperti hati-hati suci mereka. Tanpa perlu berdendam,mereka menerima kemaafan dan berkongsi agar keadaan menjadi lebih gembira.
Itulah kanak-kanak. Mereka terlalu suci. Hati mereka bersih dan sungguh rapuh. Sebagai orang dewasa, kitalah yang perlu menguatkan hati-hati mereka.
Menguatkan hati-hati itu dengan pegangan Islam yang kukuh dan mencorakkan mereka agar menjadi insan serta hamba Allah yang lebih baik dan sentiasa bersih hatinya. InsyaAllah~




Selamat mendengar lagu ini.. Bismillah by Yusuf Islam~

Sunday, January 9, 2011

Mendidik dan dididik~

Bismillahirahmanirahim~

Salam buat semua dan semoga berada dalam kasih saying Allah hendaknya..

Tahap kerinduan dalam diri terhadap suasana tarbiyah di sekolah,guru-guru,rakan-rakan,pelajaran, dan buku-buku ( adakah?) sedikit sebanyak memberi saya peluang untuk bersyukur dan memuhasabah diri agar menjadi hamba Allah yang lebih menghargai sesuatu yang telah diberikan olehNya dan bersyukur dengan segala nikmat dan rasa rindu ini.
Rindu tanda sayang, kata orang.

Saya ingin menunaikan janji saya untuk mengupdate blog ini dengan pengalaman saya sebagai seorang pembantu guru tadika~

Teruja dan berdebar-debar di dalam hati apabila melangkah masuk ke dalam tadika pada hari pertama. Seawal 7.00 pagi saya perlu berada di tadika pada minggu pertama ini.
Minggu pertama merupakan minggu orientasi untuk anak-anak ini. Alhamdullillah, semuanya berjalan lancar.

Kata Kak Wawa dan Kak Syikin, (guru di situ) tahun ini keadaan tidak seriuh tahun lepas.
Memang ada segelintir adik-adik ini yang menangis, mustahillah tiada. Tetapi tidak seteruk tahun lepas.
Alhamdulillah!

Serius, adik-adik ini sangat-sangatlah bijak-bijak dan pandai berdikari.
Sejujurnya memang letih menjaga budak-budak sebaya mereka. Sangat banyak karenah, sangat banyak soalan dan jawapan yang mereka inginkan dan sangat banyak tenaga diperlukan untuk sentiasa melayan mereka. :-)

Adik-adik inilah yang akan saya cuba didik agar menjadi hamba Allah yang taat, anak yang soleh dan solehah sebelum menjadi mujahid dan mujahidah. InsyaAllah~

Pengalaman saya dalam mendidik mereka masih belum banyak, kerana minggu kedua baru pengajaran dan pembelajaran akan bermula.

InsyaAllah, saya akan cuba mendidik mereka dan dididik oleh mereka.
Cumanya, ada satu pengalaman saya melatih adik-adik 5 tahun ini mewarna membuatkan saya belajar sesuatu daripada mereka.

Saya melatih mereka mewarna kerana mereka akan menyertai pertandingan mewarna yang akan diadakan pada beberapa hari akan datang. Sebut sahaja mereka berpeluang mendapat hadiah,mereka terus bersungguh-sungguh untuk berlatih. Aduhai comel sungguh!

“ Kakchik, kakchik, cantik tak saya warna?” soal Marha kepada saya.

“ Cantik sangat! Pandai Marha warna,” jawab saya.

Kakchik gelaran saya di sana.

“ Mestilah kena warna cantik-cantik, nanti dapat hadiah. Kalau kita buat betul-betul mesti dapat hadiah!” kata Marha.

Mereka mengajar saya erti kesungguhan yang sebenar pasti akan beroleh hasil yang memuaskan dan terbaik~

Pada hari Jumaat, saya diberi tugasan yang membuatkan saya benar-benar terkejut. Ketika sesi mesyuarat bersama guru-guru tadika. Kak Farah, pengetua tadika meminta saya menyampaikan usrah pada hari Jumaat. Usai menerima tugasan, saya terus membuat persiapan.

Pagi Jumaat itu, saya berdebar-debar. Sungguh! Kak Ika (guru tadika) memulakan muqadimah kerana beliau tahu saya sedang nervous ketika itu.

Setelah beberapa ketika, suasana menjadi sepi. Memberi ruang untuk saya bersedia.

“ Siapa tahu kita pergi sekolah untuk apa?” soalan saya mengumpan perhatian beberapa orang adik-adik.

“ Belajar,” sebahagian adik-adik 6 tahun menjawab soalan saya.

“ Adik-adik tahu, Allah suka sangat hamba yang suka belajar. Allah sayang sangat kat orang yang suka belajar. Siapa yang suka belajar, angkat tangan,”

Mereka mengangkat tangan beramai-ramai.

“ Kenapa suka belajar?”

“ Sebab nak Allah sayang,” jawab mereka.

Aduhai adik-adikku, jawapanmu membuatkan hatiku tersentuh dan terus teringat tentang Dia. Terima kasih.

“ Kalau Allah sayang kita, kita boleh masuk………..”

“ Masuk syurga,” jawab mereka.

“ Pandai!!”

Kemudian saya bercerita mengenai sirah Rasulullah. Ketika saat Abu Bakar As-Siddiq sanggup mengorbankan nyawanya sendiri demi menyelamatkan Rasulullah daripada dipatuk ular.

Mereka mendengar sepenuh perhatian seolah-olah sedang menonton cerita kartun kegemaran mereka.

Saat itu, saya terhibur dengan gelagat beberapa orang adik-adik yang sangat teruja setelah saya menghabiskan kisah itu. Masing-masing ingin bercerita mengenai ular.

Mereka mengelilingi saya beramai-ramai dan memanggil-manggil saya. Saat itu, saya sedar saya perlu adil melayan mereka.

“ Kakchik, kat rumah saya ada ular besar! Besar ni….” Cerita Harish Daniel sambil melebarkan tangannya yang comel.
Harish Daniel salah seorang adikku yang setiap pagi akan menangis apabila sampai di tadika.
Jumaat itu, pertama kali dia bercakap dengan sesiapa di tadika. Ia buatkan saya terharu dan hampir menangis kerana dia BERCERITA DENGAN SAYA!
hehe~

“ Kakchik, kakchik, saya pernah tengok ular besar dekat zoo,” hampir tergelak saya mendengar cerita Alia.

“ Kat rumah nenek Marha ada banyak ular,” cerita Marha dengan riak muka yang serius.

“ Ular ni, haiwan yang bahaya, bila nampak ular, kita kena selamatkan diri tau!” pesan saya.

Mendengar dan melayan karenah mereka memang tidak akan habis. Namun ia sesuatu perkara yang menyeronokkan!

Minggu pertama saya bekerja benar-benar mengajar saya erti kesabaran,tolak ansur,timbang rasa,keadilan dan ketulusan hati-hati adik-adik ini.

Melihatkan wajah-wajah mereka yang masih suci membuatkan saya rasa tergerak untuk terus mendidik mereka menjadi insan yang lebih baik,hamba yang lebih taat,anak yang lebih soleh dan solehah dan seterusnya menjadi pemimpin umat Muhammad yang adil. insyaAllah~

Doakan agar saya terus thabat di jalan Allah dan doakan agar hati adik-adik ini akan lebih lembut dan mudah menerima segala ilmu Allah. InsyaAllah~
Wasalam~

p/s: gambar akan diupload kemudian. insyaAllah~

Thursday, January 6, 2011

Sinar Kegagalan

Sakitnya GAGAL!
Kegagalan..
Ya! Kalimah itu sungguh menyakitkan dan sangat memberi kesan dalam kehidupan kita.
Kalimah itu mampu membuatkan keyakinan yang dikumpulkan selama ini hancur berkecai dan terbang bersama angin seperti debu.

“ Aku dah gagal~”

Betapa peritnya hati untuk menerima sebuah kegagalan.
Gagal itu menyakitkan. Hanya Allah sahaja yang mengerti kesakitan itu. Hanya Allah yang mampu merawat kelukaan itu.
Gagal kadang-kadang mampu membuatkan seseorang berasa dirinya lebih gagal~

Suka sekali saya kongsikan sebuah cerita dalam hidup saya. Mungkin agak remeh namun masih mampu memberi kesan yang kuat kepada saya dan hidup saya.
Sejak saya mula bersekolah di sekolah rendah, kerap kali saya menjadi wakil dalam pasukan olahraga. Terutama sekali dalam acara larian.Saya mewarisinya daripada ibu saya.

Saban tahun acara 100 meter menjadi pilihan, target dan seperti satu kewajiban bagi saya untuk menyertainya.

Dahulu, KEJAYAAN merupakan matlamat utama bagi saya setiap kali menyertai acara itu.
Ya! Saya memang saban tahun berjaya merangkul pingat dalam acara tersebut. ( harap dijauhi daripada riak dan takjub).

Saya masih menceburkan diri dalam bidang ini sewaktu di sekolah menengah.
Namun, pertama kali pada tahun 2010, saya tidak berjaya membawa pulang apa-apa pingat dalam 2 acara yang saya sertai. Malah saya telah pengsan di tengah-tengah padang!

Soalan pertama yang terpacul dari mulut saya setelah saya sedar,

“ Nombor berapa?? Kita nombor berapa tadi??”

Kawan sepasukan saya hanya mampu menunduk. Faham sangatlah saya dengan reaksi mereka.

Hampa. Kecewa. Ya! Semuanya bercampur-campur, seperti air batu campur. Hati saya membeku. Saya dipimpin rakan sepasukan saya ke kelas berdekatan untuk berehat di situ. Sepanjang perjalanan air mata saya tidak pernah berhenti mengalir.
Ligat otak saya mencari perkataan dan ayat lain selain,

“ Aku GAGAL!”

Kegagalan saya untuk kali itu merupakan kegagalan saya yang pertama dalam bidang ini dan membuatkan saya tawar hati untuk kembali berlari.
Semiggu saya servis hati saya.

‘ Owh! Betapa lemahnya hambaMu ini, ya Allah. Hanya kerana hal sekecil ini, aku perlukan seminggu untuk kembali seperti biasa’

Itulah kekuatan sebuah kalimah yang dicipta dan diajar oleh Allah kepada hambaNya, kita.

GAGAL itu penawar~
Gagal itu baik. Kerana gagal itu permulaan dan tanda-tanda untuk kita berjaya.

‘ Gagal sekali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya.’

Itulah sebaris kata-kata semangat yang sering diungkapkan oleh insan yang ingin mengembalikan semangatnya..

Gagal itu menjadikan seseorang lebih kuat menghadapi hari muka. Lebih berkeyakinan dengan diri kerana gagal itu sendiri telah mendidik jiwa seseorang menjadi lebih redha dan yakin kepada Allah.

Gagal itu juga telah mengajar saya untuk lebih positif dengan diri sendiri dan meyakini bahawa hidup tidak selalunya indah.

Kadang kala awan yang mendung akan berarak mengikuti kita. Lalu hujan yang tidak disangka-sangka akan turun. Hujan itu, walaupun hanya gerimis, mampu membuat kita demam. Namun setelah kebahnya demam, kita akan bangkit dan menjadi lebih kuat dan sihat serta lebih tahu menjaga kesihatan.
Begitu juga dengan situasi apabila kita dilanda kegagalan.

Pandanglah kegagalan itu dengan sebelah mata, tetapi jangan pula menutup sebelah mata yang lagi satu kerana mata yang satu lagi itu akan mencari sinar dari kegagalan tersebut. Oleh itu, bukalah kedua-dua matamu untuk melihat dan merasai teriknya sinar di sebalik kegelapan itu.

Gagal mengajar seseorang lebih menghargai setiap kejayaan yang dimiliki.
Gagal mengajar seseorang menjadi insan yang lebih baik.
Gagal mendidik hati seseorang menjadi lebih kental.
Menjadi hati seorang Muslim yang sebenar.
Menjadi hati seorang Mukmin yang dicari-cari.