Monday, May 31, 2010

Kau Pergi Jua..

Pagi Jumaat lepas, bersamaan 28 Mei 2010 mendung. Semendung hati-hati kami yang telah kehilangan insan yang paling kami sayang.

Pagi itu tepat jam 8.30, dia telah pergi meninggalkan kami, meninggalkan dunia ini. Meneruskan perjalanannya ke alam yang lain.
Perginya dia, tidak akan kembali lagi. Perginya dia, untuk selamanya.

Pagi itu, kami bersiap-siap dengan bertungkus lumus selepas mendapat panggilan daripada pak cik saya di Shah Alam.

Cuaca masa itu mendung. Kami bertolak dari Seremban hampir pukul 9.
Ya! Kami tak sempat jumpa dia.

Sampai sahaja kami di rumah atuk dan nenek di Shah Alam, ramai yang dah ada. Jiran-jiran. Saudara mara kami. Keluarga kami sahaja yang tinggal jauh dari bandar Shah Alam. Jadi, kami sampai agak lewat.

Sesampai sahaja kami di sana, sekujur badan telah ditutup dengan kain putih. Hati kami pilu. Hati saya sebak. Semasa membacakan surah Yassin buat arwah, suara saya terketar-ketar. Jiran-jiran datang memberi ucapan takziah dan pertolongan.

Selepas solat Jumaat, jenazah dibawa ke surau untuk dimandikan, dikafan dan disolatkan. Wajah arwah berseri. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Belum sempat masuk waktu asar,arwah telah di kebumikan di tanah perkuburan Seksyen 21.

Mulut Si Cilik.

Semasa di tanah perkuburan, ketika anak beranak sedang memasukkan jenazah ke dalam liang, kedengaran satu persoalan dari anak kecil yang baru berumur 4 tahun kepada makcikku.

Batrisya, 4 tahun bertubuh kecil, comel dan pintar!

“ Mama, kenapa orang masukkan yai (panggilan atuk bagi kami) dalam kubur? Yai buat apa dalam tu?” petah mulut seorang kanak-kanak berbicara.

Soalannya itu tidak dijawab oleh ibunya. Ibunya membiarkan sahaja soalan itu tanpa jawapan.

Kami terkejut mendengar soalan itu dari kanak-kanak sekecil itu..!


Keesokannya,Aqil 7 tahun, abang kepada Batrisya bertanya kepada Mak Yai (panggilan nenek bagi kami)

“ Mak Yai, Tisya tanya Yai buat apa dalam kubur,” soalnya ragu-ragu.
Kami hanya mampu tertunduk, nenek kami pula tersenyum mendengar soalan itu.

“ Tisya tanya apa lagi?” Mak Yai bertanya lagi.

“ Pastu, Tisya cakap, Yai tak mati, Yai saja nak tidur dalam tu, ye ke?” soal Aqil lagi. Dia sendiri keliru dengan kenyataan adiknya.

Kami hanya mendiamkan diri. Mak Aqil dan Batrisya meleraikan rasa kaku itu dengan menyuruh mereka untuk makan.

Kami tak tahu apa yang patut kami jawab untuk soalan-soalan seperti itu. Malah, kami sendiri masih terkesan dengan kepergiannya secara mengejut.

Bagaikan Mimpi

Semua yang berlaku ini, bagaikan mimpi.
Mimpi yang begitu pantas. Semua ini berlaku terlalu cepat.
Namun, kami redha. Kami yakin ini semua yang terbaik untuk arwah. Bukankah Allah Maha Mengetahui dan sebaik-baik perancang..?

Kami rela dengan pemergian arwah, sudah lama arwah menanggung sakit-sakit tua. Cuma kadang-kadang, saya terasa ini semua bagaikan mimpi. Sunggguh!

Yai,
walaupun kita tidak serapat mana,
namun dalam hati ini ada kamu.

Walaupun kita tidak seakrab yang disangka,
namun dalam hati ini ada kamu.

Walaupun jarak kita semakin jauh,
alam ini dan alam barzakh,
namun dalam hati ini ada kamu.
Dalam hati ini ada kamu, masih dan akan sentiasa ada.
Semoga dirimu berbahagia di sana.
Semoga dirimu ditempatkan bersama orang- orang yang soleh.
Semoga Allah memudahkan segala urusanmu.
Semoga dirimu terlepas dari siksaan kubur.
InsyaAllah~

Hanya doa yang kini mampuku sedekahkan buatmu di sana,
dengan harapan dirimu di sana sentiasa sejahtera.
InsyaAllah~
Amiin~



*Atuk saya, Abdul Hamid bapa kepada ayah saya Md. Sidek bin Abd. Hamid telah kembali ke rahmatullah pada 28 Mei 2010 tepat jam 8.30 pagi.*
Al- Fatihah.

2 comments:

afifah said...

takziah,farah..
kte prnh rse pe yg fara rse..

^_^

farah sakinah said...

syukran afifah..

:)