Sakitnya GAGAL!
Kegagalan..
Ya! Kalimah itu sungguh menyakitkan dan sangat memberi kesan dalam kehidupan kita.
Kalimah itu mampu membuatkan keyakinan yang dikumpulkan selama ini hancur berkecai dan terbang bersama angin seperti debu.
“ Aku dah gagal~”
Betapa peritnya hati untuk menerima sebuah kegagalan.
Gagal itu menyakitkan. Hanya Allah sahaja yang mengerti kesakitan itu. Hanya Allah yang mampu merawat kelukaan itu.
Gagal kadang-kadang mampu membuatkan seseorang berasa dirinya lebih gagal~
Suka sekali saya kongsikan sebuah cerita dalam hidup saya. Mungkin agak remeh namun masih mampu memberi kesan yang kuat kepada saya dan hidup saya.
Sejak saya mula bersekolah di sekolah rendah, kerap kali saya menjadi wakil dalam pasukan olahraga. Terutama sekali dalam acara larian.Saya mewarisinya daripada ibu saya.
Saban tahun acara 100 meter menjadi pilihan, target dan seperti satu kewajiban bagi saya untuk menyertainya.
Dahulu, KEJAYAAN merupakan matlamat utama bagi saya setiap kali menyertai acara itu.
Ya! Saya memang saban tahun berjaya merangkul pingat dalam acara tersebut. ( harap dijauhi daripada riak dan takjub).
Saya masih menceburkan diri dalam bidang ini sewaktu di sekolah menengah.
Namun, pertama kali pada tahun 2010, saya tidak berjaya membawa pulang apa-apa pingat dalam 2 acara yang saya sertai. Malah saya telah pengsan di tengah-tengah padang!
Soalan pertama yang terpacul dari mulut saya setelah saya sedar,
“ Nombor berapa?? Kita nombor berapa tadi??”
Kawan sepasukan saya hanya mampu menunduk. Faham sangatlah saya dengan reaksi mereka.
Hampa. Kecewa. Ya! Semuanya bercampur-campur, seperti air batu campur. Hati saya membeku. Saya dipimpin rakan sepasukan saya ke kelas berdekatan untuk berehat di situ. Sepanjang perjalanan air mata saya tidak pernah berhenti mengalir.
Ligat otak saya mencari perkataan dan ayat lain selain,
“ Aku GAGAL!”
Kegagalan saya untuk kali itu merupakan kegagalan saya yang pertama dalam bidang ini dan membuatkan saya tawar hati untuk kembali berlari.
Semiggu saya servis hati saya.
‘ Owh! Betapa lemahnya hambaMu ini, ya Allah. Hanya kerana hal sekecil ini, aku perlukan seminggu untuk kembali seperti biasa’
Itulah kekuatan sebuah kalimah yang dicipta dan diajar oleh Allah kepada hambaNya, kita.
GAGAL itu penawar~
Gagal itu baik. Kerana gagal itu permulaan dan tanda-tanda untuk kita berjaya.
‘ Gagal sekali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya.’
Itulah sebaris kata-kata semangat yang sering diungkapkan oleh insan yang ingin mengembalikan semangatnya..
Gagal itu menjadikan seseorang lebih kuat menghadapi hari muka. Lebih berkeyakinan dengan diri kerana gagal itu sendiri telah mendidik jiwa seseorang menjadi lebih redha dan yakin kepada Allah.
Gagal itu juga telah mengajar saya untuk lebih positif dengan diri sendiri dan meyakini bahawa hidup tidak selalunya indah.
Kadang kala awan yang mendung akan berarak mengikuti kita. Lalu hujan yang tidak disangka-sangka akan turun. Hujan itu, walaupun hanya gerimis, mampu membuat kita demam. Namun setelah kebahnya demam, kita akan bangkit dan menjadi lebih kuat dan sihat serta lebih tahu menjaga kesihatan.
Begitu juga dengan situasi apabila kita dilanda kegagalan.
Pandanglah kegagalan itu dengan sebelah mata, tetapi jangan pula menutup sebelah mata yang lagi satu kerana mata yang satu lagi itu akan mencari sinar dari kegagalan tersebut. Oleh itu, bukalah kedua-dua matamu untuk melihat dan merasai teriknya sinar di sebalik kegelapan itu.
Gagal mengajar seseorang lebih menghargai setiap kejayaan yang dimiliki.
Gagal mengajar seseorang menjadi insan yang lebih baik.
Gagal mendidik hati seseorang menjadi lebih kental.
Menjadi hati seorang Muslim yang sebenar.
Menjadi hati seorang Mukmin yang dicari-cari.
No comments:
Post a Comment